Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah
orang yang cantik jarang berbudi.."
Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni
cantiklah", maka akan menguntumlah sekuntum senyuman dibibirnya dan
berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila
dikatakan cantik dan lawa?
Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa
bila dikeji.
Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin
dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan
manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya
kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia
mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran
dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak
merpati, senang didekat dan ditangkap lari.
Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya
maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan
kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan
isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana
lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah
dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai
kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta
cerai.
Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan
untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan
nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya.
Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah.
Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri
yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya
harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia,
taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa
tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah
cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang.
Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang
berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan. Wanita yang kurang cantik pula
jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak
cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan
padanya.
Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut
kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang
bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.
Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah
jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana
ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah
adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan
sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.
Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah
akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan
itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan
nafsu dan syaitan. Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik
hodoh itu adalah pemberiNya.
Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan
persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni
oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala
itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu
diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru
sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya? Sebelum
segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke
puncak taubat.
Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula
dirimu wahai wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman
Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke
seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan
Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau.
Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang
dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena
dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran:
"Dan
apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allahlah datangnya, dan bila kamu
ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta pertolongan."
An-Nahl:53.....
No comments:
Post a Comment